Wednesday 31 May 2017

HARI LAHIRKU DAN HADIAH MADU DARI SUAMI

3 Ramadan 1438 Hijriah , bersamaan 29 Mei 2017, genaplah usiaku 47 tahun. Lagi 3 tahun cukup separuh abad. Ulang tahun kali ini tidak disambut di mana-mana memandangkan sekarang bulan Ramadan ie umat Islam diwajibkan berpuasa. Aku mengambil kesempatan ini untuk menghantar juadah berbuka ke surau berhampiran. Puas memikirkan apa yang ingin disediakan, lalu aku membuat keputusan untuk menyediakan karipap pusing. Sudah lama teringin untuk membuat sendiri karipap pusing ni. Kali pertama cubaanku tidak berjaya. Itu cerita belasan tahun dahulu. kali ini aku bertekad untuk mencuba sehingga berjaya. Lantas aku mencari pakcik google. 

Dalam resepi yang digoogle itu, menggunakan vegetable shortening. Manalah sempat nak cari shortening ni bagai. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Lantas aku menggantikan shortening tu dengan minyak kelapa dara, sesuai dengan diet sihat yang sedang diikuti. Mintak-mintak jadilah.

Bermula dengan proses membuat inti, dan kemudian menguli doh dan dicanai sebelum diletak inti dan dikelim tepinya. Tepat pukul 5.30 petang, sebanyak lebih kurang 60 biji karipap pusing telah terhasil..Alhamdulillah..

Alhamdulillah....akhirnya berjaya.......
Maka sempatlah aku menyuruh Aiman menghantar karipap ini ke surau sebelum waktu berbuka. Pukul 6.30 petang, suamiku pulang dari kerja. Masuk sahaja ke dalam rumah, katanya "Nah, madu, hadiah hari lahir". "Namanya Rayhanah", sambungnya lagi. Terkedu aku sekejap sebelum tersenyum lebar selepas itu. Nasib baik si Rayhanah ini , sudah lama aku mengidam. Ingat juga dia hendak membelikan sesuatu buatku. Rayhanah ini adalah madu dari Yemen yang sungguh enak ditambah pula dengan harganya yang agak mahal berbanding madu tempatan. Madu boleh digunakan untuk menggantikan penggunaan gula putih yang tidak bagus untuk kesihatan. Alhamdulillah...mujur ada madu...






Tuesday 23 May 2017

Gunung Hitam yang suram.. (Part 2)


Setelah satu jam setengah perjalanan mendaki pada trek yang curam, kami sampai di checkpoint yang pertama. Dua bongkah batu besar yang berlumut menunggu kedatangan kami. Di sini kami melepaskan lelah dan mengumpul tenaga untuk menyambung perjalanan.

Perjalanan diteruskan lagi dengan penuh semangat. Trek dipenuhi dengan akar-akar pokok . Suasana semakin gelap dan berkabus. Rupa-rupanya hari hendak hujan. Hujan turun dengan lebat sekali. Kami meneruskan pendakian walaupun di dalam hujan hinggalah sampai di checpoint ke 2 pada ketinggian 800 meter.

Selepas checkpoint ke-2, hujan mula berhenti namun trek menjadi licin dan berlopak. pendakian diteruskan . Hutan mula dipenuhi dengan pokok paku gajah. Suasana kelam dan berkabus. Pandangan mata harus tajam kerana trek terhalang oleh pokok-pokok yang tumbang dan terdapat juga pohon berduri.

Setelah lebih kurang 40 minit pendakian dari checkpoint ke-dua, akhirnya kami tiba di puncak. Yeayy!!! , kami menjerit keriangan sambil bersyukur ke hadrat Ilahi.
Puncak Gunung Hitam...1220 m


Suasana kelam dan suram di puncak


Sejuk keadaannya di puncak gunung


.  Arif (guide), Faril dan Amin telahpun siap mendirikan khemah untuk kami berehat melepas lelah. Kami dihidangkan dengan kek batik, maggie mee dan teh o lemon. Betapa nikmatnya makan maggie di atas puncak setelah 4 jam mendaki.





Nikmatnya makan maggie di atas puncak
Di atas puncak, masih banyak lagi Mr Pac yang bermaharaja lela. Masing-masing sibuk mencari rezeki. Setelah makan dan bergambar seketika, kami bergerak turun. Keadaan hujan menyebabkan trek licin menyukarkan laluan. Kami terpaksa turun dengan berhati-hati untuk mengelak sebarang kemalangan.  Setelah lebih kuran 3 jam setengah, akhirnya kami selamat sampai di kawasan perkelahan. Tanpa membuang masa, kami membersihkan diri dan bersedia untuk menunaikan tanggungjawab kepada yang Esa. Sekarang, terjawab sudah pertanyaan yang bermain di fikiran, patutlah diberi nama Gunung Hitam....


Gunung Hitam yang suram.... (part 1)

Ramai yang tidak mengenali Gunung Hitam. Terletak di daerah Hulu Langat, bersempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Sebab apa diberi nama Gunung Hitam ? Ikuti perjalanan kisah kami mendaki Gunung Hitam pada 21 Mei 2017 yang lalu. Sebelum itu diperkenalkan peserta ekspedisi yang diketuai oleh seorang guide (Arif) dan kawannya Faril serta 7 orang lagi pendaki terdiri dari K.Ros, Liza, Zatul, Herni, Amin, aku dan suamiku.. Kami berkumpul di gerai nasi lemak dan roti canai medal yang terletak di seberang jalan Balai Polis Bt 18 Hulu Langat. Gerai ini dinamakan gerai nasi lemak dan roti canai medal kerana di dinding gerai terdapat banyak medal tergantung kemas. Kami bersarapan di situ . Nasi lemaknya sungguh enak.


Gerai nasi lemak medal
Nasi lemak yang sungguh enak

Setelah bersarapan, kami meneruskan perjalanan menuju kaki gunung. Kenderaan boleh diparkir di kawasan perkelahan lama yang sudah terbiar. Kelihatan pondok-pondok rehat yang sudah reput dimakan anai-anai.




Di tempat letak kenderaan. 


Perjalanan diteruskan dengan menyeberangi sungai dan melalui kawasan hutan buluh. Kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok buluh yang merimbun. Setelah menempuh hutan buluh, kita akan menemui sebuah pondok rehat di tengah kebun buah-buahan. Selepas ini, baharulah pendakian sebenar bermula.


Hutan buloh yang perlu ditempuh...
Pondok dikelilingi kebun
Kawasan sekitar pondok...


Setelah itu, perjalanan diteruskan meredah belukar sebelum trek mendaki. Kelihatan air terjun di sebelah kiri. Gunung Hitam mempunyai 2 checkpoint iaitu checkpoint pertama pada ketinggian 400 meter dan checkpoint kedua pada paras ketinggian 800 meter. Oleh kerana gunung ini bukan lokasi pendakian yang terkenal, banyak sekali spesis flora dan fauna di sini. Spesis yang biasa adalah Mr Pac dan Mr Gon. Saiz Mr Gon disini agak luar biasa. Mr Gon yang masih muda berwarna sedikit pink manakala yang sudah matang berwarna coklat kehitaman. Kami bernasib baik kerana dapat berjumpa dengan Mr Gon bersaiz 10 inci - 11 inci panjang.
Mr Pac ( Pacat ) yang banyak terdapat di sini

Mr Gon (Gonggok) gergasi

Spesis cendawan yang banyak terdapat di sini











Monday 22 May 2017

MY Healthy Run 2017





Training untuk projek Kinabalu Ogos 2017...Kami bertiga menyertai My Healthy Run 2017 di padang Merbok, Kuala Lumpur. Suasana pagi itu sungguh mendamaikan kerana hujan pada subuh hari hinggalah jam 7 pagi.

Raikan guru sekolah menengah

Cikgu Ainah  di tengah-tengah..
Bersempena hari guru yang baru berlalu, aku dan 3 orang lagi rakan sekolah menengah telah berpeluang menziarahi guru kimia kami semasa tingkatan 5 di SMAP, Labu. Walau jarak masa 30 tahun lamanya, kemesraan seorang guru dengan anak muridnya tetap mesra dan tulus. Ya, walaupun guruku itu tidak dapat mengingati nama-nama kami semua, itu tidak mendatangkan ralat. Terima kasih Cikgu Ainah Hayati bt Tarmin kerana sudi meluangkan masa untuk kami semua.


Rendang udang yang sungguh enak.........

Di sinilah kami menimba ilmu pada tahun 1987
Sebelum pulang, kami bertiga sempat melawat sekolah lama kami yang penuh dengan kenangan dan  nostalgia zaman remaja 30 tahun dahulu. Teringat-ingat keriuhan di dewan makan kayu apabila tibanya waktu makan. Apabila terpandang tangki air di belakang aspuri, itulah tempat kami melepaskan tekanan tatkala SPM.  Sesungguhnya kenangan itu manis apabila dikenang .....Terima kasih guru-guru dan juga sahabat-sahabat, senior dan junior SMAWP / SMAP atas catatan kenangan yang terpahat di ingatan......
Tangki air di belakang blok aspuri..







Thursday 18 May 2017

Makan apa hari ini

Nak makan apa hari ni? Tajuk blog cikgu mkm saya...tapi menjadi persoalan setiap hari...
Hari ini masak sambal goreng jawa....untuk resepi, boleh lihat blog sifu saya...dengan tajuk makan apa harini....KLIK SINI  untuk blog beliau.  Nak sesuaikan dengan resepi sihat, kita tambah sayur kacang panjang banyak-banyak. Cuma resepi ni tak berapa nak sihat sebab sedikit berminyak...




Makan sayur banyak supaya sesuai dengan pinggan sihat. Bagi yang tidak tahu lagi, sukatan pinggan sihat ialah :

suku pinggan:  nasi/bihun  (karbo)
suku pinggan : protein
separuh pinggan :  sayur/buah2an....



Selepas berjaya kurangkan berat badan sebanyak 10 kg , Alhamdulillah boleh maintain setakat ni. Syaratnya kena ikut porsi atau portion . Nasi mesti satu genggam, tak boleh lebih-lebih. Nak bagus lagi, guna beras perang . Kurangkan gula putih dan minyak serta makanan yang diproses. . Amalkan minyak zaitun yang kaya dengan anti oksidan..... Ingat ! SUKU  SUKU  SEPARUH

Hari Sabtu nanti jom kita sertai Larian ...... di Padang Merbok, K.L dan hari Ahad pulak kita pergi hiking !!! Amalkan cara hidup sihat....






Wednesday 17 May 2017

Segalanya berpangkal dari hati..

Sebelum memohon untuk ke kursus bina blog ini, ramai yang memberi komen-komen yang boleh membantutkan . Contohnya,  " Owh..mesti pandai komputer, kalau tak pandai susah ma!" komen Puan Chong (bukan nama sebenar). "Tempat itu sangat sesak, traffic jam!" ulas pula Puan Zainab (juga bukan nama sebenar).  Cuma ada yang suka berkursus di situ " Makanannya sedap-sedap !" ujar Puan Kay padaku. Antara komen-komen tersebut, kesesakan jalan raya lah yang menghantui fikiranku. Redah sajalah....

Lebuhraya Persekutuan memang terkenal kerana kesesakan setiap masa pada setiap hari kecuali hari Ahad. Nak ikut  laluan lain, tak berapa biasa dengan PJ. Ya, memang benar, jalan sesak sepanjang Jalan Lapangan Terbang hinggalah ke lebuhraya dan hingga ke susur keluar di
 Jalan 222 . Perjalanan mengambil masa 1 jam. Meter kereta menunjukkan hadlaju 10 km/jam. Aduhai, sabarlah...resam hidup di kota. Hari ketiga agak baik kerana tarffic lancar sedikit dan mengambil masa 40 minit sahaja untuk sampai dan aku mengikut laluan NKVE exit Subang baru menghala ke lebuhraya.

Di saat inilah daku berasa syukur yang amat sangat kerana sekolah terletak berhampiran dengan rumah. Hanya 20 minit perjalanan setiap hari untuk ke sekolah. Bagaimanalah nasib guru-guru yang perlu mengharungi kesesakan lalu lintas setiap hari. Inipun badan sudah berasa hendak demam. Baru 3 hari bah....!

Yang Bermula Pasti Berakhir

Setiap yang bermula pasti berakhir....

Bye bye Maktab Koperasi. Semoga kita bersua kembali pada masa yang lain. Segala tunjuk ajar akan disemat dalam minda. Moga jadi ilmu yang bermanfaat untuk tenaga pengajar MKM. Aamiin...Klik sini untuk kursus hari pertama.



Sebuah kejayaan

Alhamdulillah.... hari ini merupakan hari terakhir berkursus di Maktab Koperasi . Rata-rata peserta kelihatan ceria kerana blog yang dibina hampir 100% siap. Ada juga yang gembira kerana akan pulang ke pangkuan keluarga setelah berpisah 4 hari lamanya. Untung maktab ini terletak di bandar berhampiran jadi tidak perlulah aku menginap di asrama. Berbalik kepada tajuk entry hari ini tentang sebuah kejayaan. Kejayaan membawa banyak pengertian. Kejayaan bukan hanya setakat lulus cemerlang dalam peperiksaan, tapi mempunyai pengertian yang lebih luas. Kejayaan juga apabila kita berjaya melawan perasaan malas untuk membuat sesuatu kerja yang berfaedah misalnya atau kejayaan melakukan sesuatu yang kita tidak suka pada awalnya. Sebelum menghadiri kursus ini, aku tiada langsung pengetahuan mengenai cara membina blog. Sebelum ini, aku hanya selalu mengunjungi blog-blog kegemaranku seperti Azie Kitchen atau Dapur Tanpa Sempadan. Teruja sekali melihat hasil masakan di blog-blog mereka sambil berangan-angan mempunyai blog sendiri. Alhamdulillah kerana telah digerakkan hati untuk memohon kursus ini dan terima kasih juga kepada MKM kerana menganjurkan kursus. Semoga ramai lagi cikgu-cikgu muda mahupun yang senior menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh MKM. Terima kasih kepada cikgu2 MKM iaitu Pn Rosidah Rashid dan Pn Nor Aslamiah kerana sabar menghadapi karenah kami.  Arigato gozaimas...

Pn Rosidah sedang menunjuk ajar peserta kursus

Tuesday 16 May 2017

Hari Guru yang istimewa



Assalamu alaikum wbt...

Selamat Hari Guru to me....kali ini hari guru disambut sambil berkursus. Istimewa kali ini, berkursus bersama-sama dengan anak perempuanku yang sedang menunggu keputusan UPU. Ramai yang menyangka kami adik beradik..(hrmm..perasan awet muda)..Terima kasih kepada grup Kurusku adalah Ibadahku serta coach Madi yang banyak memberi sokongan untuk menurunkan berat badan secara sihat. Ya, tanpa pil dan ubat kurus..kita boleh menurunkan berat badan dengan menjaga pemakanan dan senaman. Ahad lepas, cikgu dan suami beriadah di Bukit Saga Mamak, Ampang. Trek Bukit Saga sesuai dijadikan tempat latihan untuk Ekspedisi Kinabalu nanti (bulan Ogos ). Hari Sabtu sebelumnya, kami ke FRIM. dengan hasrat mendaki hingga ke Canopy.  Tanpa mengetahu Rover Track telah ditutup, kami mendaki mengikut air terjun hingga ke atas. Sampai di atas, suasana sunyi sepi tanpa kehadiran para hikers dan joggers. Suasana sepi dipecahkan dengan bunyi unggas dan margastua . Kami terus berpatah balik dengan mengikut jalan asal setelah diberitahu oleh 2 orang yang meronda di situ bahawa hanya lawatan berpandu sahaja yang dibenarkan berikutan banyak kes yang berlaku. Wallahu alam....

Di kesempatan ini, daku juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat Pn Halijah Haji Salleh (emak dan juga guru pertamaku), Guru-guru di SK Segambut (1977-1982) iaitu Pn Azizah, Pn Zainab, Pn Fatimah, Pn Kamariah, Cikgu Mohd Nor, Cikgu Abdullah, Cikgu Hassan, Cikgu Jamaludin, Ustazah Normah dan ramai lagi.
1979 ..daku darjah 3 Kuning. Hanya inilah gambar kelas semasa di sekolah rendah. Terima kasih Cikgu Fatimah kerana tegas mendidik kami matematik....



 Juga buat guru-guru yang pernah menabur jasa mendidik  di SMAWP  (1983-1987) iaitu Pn Mazmah, Pn Zuraidah,Pn Maznah, Pn Harbans Kaur, Pn Zainiyah, Pn Zaleha, Pn Zabedah, Ustazah Jarrah, Ustaz Ashaari, dan lain lain lagi yang tak dapat disebutkan di sini. Moga kalian semua sentiasa di rahmati Allah swt.
Di sinilah tempatku menuntut ilmu selama 4.5 tahun di sekolah menengah bermula 1983-1987 sebelum sekolah ini berpindah ke lokasi baharu di Labu, Negeri Sembilan.


Okay, untuk hari guru ini unit PPKI telah menggerakkan unit jahitan untuk menghasilkan apron comey yang boleh disulam dengan nama si pemakai. Anda boleh menempah apron ini untuk dihadiahkan buat yang tersayang seperti ibu, isteri atau guru anda. Pastinya mereka akan tersenyum menerima hadiah daripada anda dan pastinya sambil memasak mereka akan mengingati anda !








Monday 15 May 2017

SEKAPUR SIRIH

Assalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh.......

Hari ini hari pertama berkursus di Maktab Koperasi Malaysia atau ringkasnya MKM. Tujuannya untuk menambah ilmu pengetahuan dalam dunia blog dan pemasaran online.



Blog ini memaparkan celah-celah kehidupan  seorang cikgu yang terlibat dengan koperasi sekolah serta aktiviti ko kurikulum. Bertujuan untuk memasarkan hasil-hasil keluaran koperasi dan unit pendidikan khas di sekolah yang terletak di pinggir bandaraya .


Lokasi Kota Damansara yang terletak berhampiran bandar-bandar utama seperti Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam memudahkan aktiviti penghantaran secara COD. Tambahan pula Pos laju yang terletak di Seksyen 8 bakal memudahkan urusan penghantaran melalui pos.
.