Wednesday 31 May 2017

HARI LAHIRKU DAN HADIAH MADU DARI SUAMI

3 Ramadan 1438 Hijriah , bersamaan 29 Mei 2017, genaplah usiaku 47 tahun. Lagi 3 tahun cukup separuh abad. Ulang tahun kali ini tidak disambut di mana-mana memandangkan sekarang bulan Ramadan ie umat Islam diwajibkan berpuasa. Aku mengambil kesempatan ini untuk menghantar juadah berbuka ke surau berhampiran. Puas memikirkan apa yang ingin disediakan, lalu aku membuat keputusan untuk menyediakan karipap pusing. Sudah lama teringin untuk membuat sendiri karipap pusing ni. Kali pertama cubaanku tidak berjaya. Itu cerita belasan tahun dahulu. kali ini aku bertekad untuk mencuba sehingga berjaya. Lantas aku mencari pakcik google. 

Dalam resepi yang digoogle itu, menggunakan vegetable shortening. Manalah sempat nak cari shortening ni bagai. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Lantas aku menggantikan shortening tu dengan minyak kelapa dara, sesuai dengan diet sihat yang sedang diikuti. Mintak-mintak jadilah.

Bermula dengan proses membuat inti, dan kemudian menguli doh dan dicanai sebelum diletak inti dan dikelim tepinya. Tepat pukul 5.30 petang, sebanyak lebih kurang 60 biji karipap pusing telah terhasil..Alhamdulillah..

Alhamdulillah....akhirnya berjaya.......
Maka sempatlah aku menyuruh Aiman menghantar karipap ini ke surau sebelum waktu berbuka. Pukul 6.30 petang, suamiku pulang dari kerja. Masuk sahaja ke dalam rumah, katanya "Nah, madu, hadiah hari lahir". "Namanya Rayhanah", sambungnya lagi. Terkedu aku sekejap sebelum tersenyum lebar selepas itu. Nasib baik si Rayhanah ini , sudah lama aku mengidam. Ingat juga dia hendak membelikan sesuatu buatku. Rayhanah ini adalah madu dari Yemen yang sungguh enak ditambah pula dengan harganya yang agak mahal berbanding madu tempatan. Madu boleh digunakan untuk menggantikan penggunaan gula putih yang tidak bagus untuk kesihatan. Alhamdulillah...mujur ada madu...






Tuesday 23 May 2017

Gunung Hitam yang suram.. (Part 2)


Setelah satu jam setengah perjalanan mendaki pada trek yang curam, kami sampai di checkpoint yang pertama. Dua bongkah batu besar yang berlumut menunggu kedatangan kami. Di sini kami melepaskan lelah dan mengumpul tenaga untuk menyambung perjalanan.

Perjalanan diteruskan lagi dengan penuh semangat. Trek dipenuhi dengan akar-akar pokok . Suasana semakin gelap dan berkabus. Rupa-rupanya hari hendak hujan. Hujan turun dengan lebat sekali. Kami meneruskan pendakian walaupun di dalam hujan hinggalah sampai di checpoint ke 2 pada ketinggian 800 meter.

Selepas checkpoint ke-2, hujan mula berhenti namun trek menjadi licin dan berlopak. pendakian diteruskan . Hutan mula dipenuhi dengan pokok paku gajah. Suasana kelam dan berkabus. Pandangan mata harus tajam kerana trek terhalang oleh pokok-pokok yang tumbang dan terdapat juga pohon berduri.

Setelah lebih kurang 40 minit pendakian dari checkpoint ke-dua, akhirnya kami tiba di puncak. Yeayy!!! , kami menjerit keriangan sambil bersyukur ke hadrat Ilahi.
Puncak Gunung Hitam...1220 m


Suasana kelam dan suram di puncak


Sejuk keadaannya di puncak gunung


.  Arif (guide), Faril dan Amin telahpun siap mendirikan khemah untuk kami berehat melepas lelah. Kami dihidangkan dengan kek batik, maggie mee dan teh o lemon. Betapa nikmatnya makan maggie di atas puncak setelah 4 jam mendaki.





Nikmatnya makan maggie di atas puncak
Di atas puncak, masih banyak lagi Mr Pac yang bermaharaja lela. Masing-masing sibuk mencari rezeki. Setelah makan dan bergambar seketika, kami bergerak turun. Keadaan hujan menyebabkan trek licin menyukarkan laluan. Kami terpaksa turun dengan berhati-hati untuk mengelak sebarang kemalangan.  Setelah lebih kuran 3 jam setengah, akhirnya kami selamat sampai di kawasan perkelahan. Tanpa membuang masa, kami membersihkan diri dan bersedia untuk menunaikan tanggungjawab kepada yang Esa. Sekarang, terjawab sudah pertanyaan yang bermain di fikiran, patutlah diberi nama Gunung Hitam....


Gunung Hitam yang suram.... (part 1)

Ramai yang tidak mengenali Gunung Hitam. Terletak di daerah Hulu Langat, bersempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Sebab apa diberi nama Gunung Hitam ? Ikuti perjalanan kisah kami mendaki Gunung Hitam pada 21 Mei 2017 yang lalu. Sebelum itu diperkenalkan peserta ekspedisi yang diketuai oleh seorang guide (Arif) dan kawannya Faril serta 7 orang lagi pendaki terdiri dari K.Ros, Liza, Zatul, Herni, Amin, aku dan suamiku.. Kami berkumpul di gerai nasi lemak dan roti canai medal yang terletak di seberang jalan Balai Polis Bt 18 Hulu Langat. Gerai ini dinamakan gerai nasi lemak dan roti canai medal kerana di dinding gerai terdapat banyak medal tergantung kemas. Kami bersarapan di situ . Nasi lemaknya sungguh enak.


Gerai nasi lemak medal
Nasi lemak yang sungguh enak

Setelah bersarapan, kami meneruskan perjalanan menuju kaki gunung. Kenderaan boleh diparkir di kawasan perkelahan lama yang sudah terbiar. Kelihatan pondok-pondok rehat yang sudah reput dimakan anai-anai.




Di tempat letak kenderaan. 


Perjalanan diteruskan dengan menyeberangi sungai dan melalui kawasan hutan buluh. Kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok buluh yang merimbun. Setelah menempuh hutan buluh, kita akan menemui sebuah pondok rehat di tengah kebun buah-buahan. Selepas ini, baharulah pendakian sebenar bermula.


Hutan buloh yang perlu ditempuh...
Pondok dikelilingi kebun
Kawasan sekitar pondok...


Setelah itu, perjalanan diteruskan meredah belukar sebelum trek mendaki. Kelihatan air terjun di sebelah kiri. Gunung Hitam mempunyai 2 checkpoint iaitu checkpoint pertama pada ketinggian 400 meter dan checkpoint kedua pada paras ketinggian 800 meter. Oleh kerana gunung ini bukan lokasi pendakian yang terkenal, banyak sekali spesis flora dan fauna di sini. Spesis yang biasa adalah Mr Pac dan Mr Gon. Saiz Mr Gon disini agak luar biasa. Mr Gon yang masih muda berwarna sedikit pink manakala yang sudah matang berwarna coklat kehitaman. Kami bernasib baik kerana dapat berjumpa dengan Mr Gon bersaiz 10 inci - 11 inci panjang.
Mr Pac ( Pacat ) yang banyak terdapat di sini

Mr Gon (Gonggok) gergasi

Spesis cendawan yang banyak terdapat di sini











Monday 22 May 2017

MY Healthy Run 2017





Training untuk projek Kinabalu Ogos 2017...Kami bertiga menyertai My Healthy Run 2017 di padang Merbok, Kuala Lumpur. Suasana pagi itu sungguh mendamaikan kerana hujan pada subuh hari hinggalah jam 7 pagi.

Raikan guru sekolah menengah

Cikgu Ainah  di tengah-tengah..
Bersempena hari guru yang baru berlalu, aku dan 3 orang lagi rakan sekolah menengah telah berpeluang menziarahi guru kimia kami semasa tingkatan 5 di SMAP, Labu. Walau jarak masa 30 tahun lamanya, kemesraan seorang guru dengan anak muridnya tetap mesra dan tulus. Ya, walaupun guruku itu tidak dapat mengingati nama-nama kami semua, itu tidak mendatangkan ralat. Terima kasih Cikgu Ainah Hayati bt Tarmin kerana sudi meluangkan masa untuk kami semua.


Rendang udang yang sungguh enak.........

Di sinilah kami menimba ilmu pada tahun 1987
Sebelum pulang, kami bertiga sempat melawat sekolah lama kami yang penuh dengan kenangan dan  nostalgia zaman remaja 30 tahun dahulu. Teringat-ingat keriuhan di dewan makan kayu apabila tibanya waktu makan. Apabila terpandang tangki air di belakang aspuri, itulah tempat kami melepaskan tekanan tatkala SPM.  Sesungguhnya kenangan itu manis apabila dikenang .....Terima kasih guru-guru dan juga sahabat-sahabat, senior dan junior SMAWP / SMAP atas catatan kenangan yang terpahat di ingatan......
Tangki air di belakang blok aspuri..







Thursday 18 May 2017

Makan apa hari ini

Nak makan apa hari ni? Tajuk blog cikgu mkm saya...tapi menjadi persoalan setiap hari...
Hari ini masak sambal goreng jawa....untuk resepi, boleh lihat blog sifu saya...dengan tajuk makan apa harini....KLIK SINI  untuk blog beliau.  Nak sesuaikan dengan resepi sihat, kita tambah sayur kacang panjang banyak-banyak. Cuma resepi ni tak berapa nak sihat sebab sedikit berminyak...




Makan sayur banyak supaya sesuai dengan pinggan sihat. Bagi yang tidak tahu lagi, sukatan pinggan sihat ialah :

suku pinggan:  nasi/bihun  (karbo)
suku pinggan : protein
separuh pinggan :  sayur/buah2an....



Selepas berjaya kurangkan berat badan sebanyak 10 kg , Alhamdulillah boleh maintain setakat ni. Syaratnya kena ikut porsi atau portion . Nasi mesti satu genggam, tak boleh lebih-lebih. Nak bagus lagi, guna beras perang . Kurangkan gula putih dan minyak serta makanan yang diproses. . Amalkan minyak zaitun yang kaya dengan anti oksidan..... Ingat ! SUKU  SUKU  SEPARUH

Hari Sabtu nanti jom kita sertai Larian ...... di Padang Merbok, K.L dan hari Ahad pulak kita pergi hiking !!! Amalkan cara hidup sihat....






Wednesday 17 May 2017

Segalanya berpangkal dari hati..

Sebelum memohon untuk ke kursus bina blog ini, ramai yang memberi komen-komen yang boleh membantutkan . Contohnya,  " Owh..mesti pandai komputer, kalau tak pandai susah ma!" komen Puan Chong (bukan nama sebenar). "Tempat itu sangat sesak, traffic jam!" ulas pula Puan Zainab (juga bukan nama sebenar).  Cuma ada yang suka berkursus di situ " Makanannya sedap-sedap !" ujar Puan Kay padaku. Antara komen-komen tersebut, kesesakan jalan raya lah yang menghantui fikiranku. Redah sajalah....

Lebuhraya Persekutuan memang terkenal kerana kesesakan setiap masa pada setiap hari kecuali hari Ahad. Nak ikut  laluan lain, tak berapa biasa dengan PJ. Ya, memang benar, jalan sesak sepanjang Jalan Lapangan Terbang hinggalah ke lebuhraya dan hingga ke susur keluar di
 Jalan 222 . Perjalanan mengambil masa 1 jam. Meter kereta menunjukkan hadlaju 10 km/jam. Aduhai, sabarlah...resam hidup di kota. Hari ketiga agak baik kerana tarffic lancar sedikit dan mengambil masa 40 minit sahaja untuk sampai dan aku mengikut laluan NKVE exit Subang baru menghala ke lebuhraya.

Di saat inilah daku berasa syukur yang amat sangat kerana sekolah terletak berhampiran dengan rumah. Hanya 20 minit perjalanan setiap hari untuk ke sekolah. Bagaimanalah nasib guru-guru yang perlu mengharungi kesesakan lalu lintas setiap hari. Inipun badan sudah berasa hendak demam. Baru 3 hari bah....!